Thursday 23 September 2010

Juz 2 : Al-Baqarah, 2:142-252

11. Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Al-Baqarah, 2 : 143)

12. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Dan agar Kusempurnakan nikmat-Ku atasmu, dan supaya kamu mendapat petunjuk. (Al-Baqarah, 2 : 150)

13. Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Kitab dan hikmah (sunnah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. (Al-Baqarah, 2 : 151)

14. Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. (Al-Baqarah, 2 : 152)

15. Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah, 2 : 153)

16. Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahawa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya. (Al-Baqarah, 2 : 154)

17. Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-Baqarah, 2 : 155-157)

18. Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. (Al-Baqarah, 2 : 165)

19. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Al-Baqarah, 2 : 186)

20. Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah, 2 : 193)

21. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. (Al-Baqarah, 2 : 197)

22. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka". Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. (Al-Baqarah, 2 : 200-202)

23. Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. (Al-Baqarah, 2 : 204)

24. Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. (Al-Baqarah, 2 : 207)

25. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (Al-Baqarah, 2 : 208)

26. Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas. (Al-Baqarah, 2 : 212)

27. Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah, 2 : 214)

28. Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah, 2 : 216)

29. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqarah, 2 : 217)

30. Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah, 2 : 228)

31. Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan. (Al-Baqarah, 2 : 245)

32. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam. (Al-Baqarah, 2 : 251)

2 comments:

  1. Salam ustaz, tuan,
    Saya adalah seorang muslimah yang agak jahil tentang tafsiran Al Quran.
    Mohon jika dapat sekiranya ustaz tolong ulaskan no. 31 (2:245) jika tidak keberatan, terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Wsalam muslimah,

    Terima kasih di atas pertanyaan. Semoga ia akan memperdalamkan kefahaman kita terhadap Al-Quran.

    Ada empat isu dalam ayat ini yang kita boleh bincangkan:

    1. 'Pinjaman kepada Allah'. Kita tahu setiap apa di langit dan di bumi termasuk yang ada pada kita adalah milik Allah. Bila Allah menggunakan bahasa sebegini, ia adalah untuk menarik perhatian kita. Harta yang kita miliki, walau pada hakikatnya kepunyaan Allah, dikatakan sebagai dipinjamkan kepada Allah sekiranya ia dibelanjakan untuk agama Allah seperti jihad dan dakwah.

    2. 'Allah akan melipatgandakan pembayaran'. Ayat yang kita bawa pada 3 Ramadan, no 35 (2:261) menjelaskan ayat ini iaitu harta yang dibelanjakan pada jalan Allah digandakan pembalasannya di akhirat kelak.

    3. Allah melapangkan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang dikehendakiNya. Kita lihat ramai orang Islam yang miskin, begitu juga ramai orang bukan Islam yang kaya. Itu semua ditentukan oleh Allah swt.

    4. 'Kepada-Nya-lah kamu dikembalikan'. Selepas mati, kita kembali kepada Allah untuk beroleh balasannya.

    ReplyDelete